Bicara Buku; TAQWA

Gandingan ideal; Ustaz Wan Ji yang petah dan Tuan Haji Annual Bakri yang tenang


Fiesta Kota Damansara yang berlangsung pada 25 Disember hingga 31 Disember 2008 telah memberi ruang kepada Anbakri Publika Sdn. Bhd mengemudi agenda Bicara Buku. Program Bicara Buku beriklim santai telah membariskan panelis kordial dengan seni dan sastera, Tuan Haji Annual Bakri Haron dan Saudara Ann Wan Seng. Nyata panelis ini punya kredibiliti untuk mengupas karya Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz yang berjudul TAQWA. Karektor Ustaz Wan Ji Wan Husin sebagai moderator mengujakan audien.

Benar! Takwa bukan sekadar takut dan patuh kepada Allah, tetapi merasai diri diawasi dan diperhati. Setiap perkara yang dilakukan pasti dibalasi walau sekecil zarah. Itu prinsip Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang sempat dikutip oleh Setiausaha Politiknya, Tuan Haji Annual Bakri. ”Saat yang paling diingati hingga ke hari ini ketika saya sedang menulis. Tuan Guru memerhatikan cara saya menulis, kemudian beliau bersuara tenang dan bertanya, kenapa kamu tulis begitu? Saya bertanya kepada beliau, mengapa? Apa salahnya saya menulis begini? Beliau menjawab, jika kamu tulis begitu penggunaan dakwatnya tidak ekonomik. Membazirkan tinta. Saya akur dengan jawapan tersebut dan terbetik rasa kagum.” Ujar Tuan Haji Annual Bakri semangat.

Selaku Editor Syariah Anbakri Publika Sdn. Bhd., Ustaz Wan Ji sempat mengulas isu pengharaman snuker di awal pemerintahan Tuan Guru sebagai Menteri Besar Kelantan. Namun menjadi tanda tanya apabila akhirnya Tuan Guru merasmikan pusat snuker di Kelantan. Isu ini membangkitkan kontroversi. Namun, apa yang dijawab oleh Tuan Guru cukup menyenangkan hati individu yang sangsi. ”Dulu, Rasulullah SAW mengharamkan umatnya pergi ke kubur kerana bimbang berlaku perkara syirik dan khurafat, setelah akar tauhid dipasakkan ke dalam nubari setiap umat dengan utuh, Rasulullah SAW membenarkan umatnya menziarahi kubur. Kerana kubur bisa mendekatkan kita kepada saat kematian. Begitu juga dengan snuker, sebelum ini snuker sinonim dengan judi, setiap permainan ada pertaruhan. Ini akan membunuh ikhtiar rakyat Kelantan dan merendahkan akal budi manusia. Saya haramkan bersebab.”

Ann Wann Seng yang hadir lewat disebabkan menghadiri jemputan majlis ilmu sempat berkejar ke Kota Damansara bagi mengisi Slot Bicara Buku. Beliau merupakan mualaf yang mula mengulas buku karangan Tuan Guru sejak tahun 1996. Ann Wan Seng mempunyai latarbelakang keluarga yang bergiat cergas dalam perniagaan. Beliau mengaitkan kesinambungan SIKAP ORANG CINA dan KELEMAHAN TAKWA orang Melayu. Apa yang menarik beliau memerikan hal orang cina yang kaya raya tetapi sangat pemurah hati dan punya inisiatif menyalurkan kebajikan walaupun sudah meninggal dunia, manakala orang Melayu yang beragama Islam saling berdengki dalam aktiviti perniagaan. Pantang melihat kemajuan orang, pasti terbit hasad dan dengki sehingga sanggup menjatuhkan bangsa sendiri. Berbanding orang cina yang sifar akidah, mereka sangat menjaga bangsa mereka. Keuntungan milik bersama. Konklusi mudah dari Ann Wan Seng, ”Jika ingin ekonomi islam maju, islamkan semua orang-orang cina!” Serunya.

Takwa, benihnya harus disemai sejak kecil. Kerana takwa tidak akan lahir tanpa tauhid...

Telaga Budi


"Telaga budi" adalah sauh tempat diamnya pautan budi. Dalam tenang takung airnya, ada pusar lautan makna. Bagai riak di tasik madu, ia menghantar sebimbing wahyu terkupas dari asuh kata ulama'...

(Himpunan kata-kata hikmah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat)

Susunan: Annual Bakri Haron

Fikrah Tok Guru di rak buku anda!






















Bila karya Tok Guru sudah didokumen kan...maka molek sungguh bila berada di rak buku. Kalu buku-buku lain boleh berada di rak buku anda, mengapa tidak buku Tok Guru?? "Tiada pemimpin yang menggunakan Islam seistiqamah beliau dalam apa jua keadaan. Sekali gus, tiada ulama’ yang memiliki wilayah pemerintahan untuk diuji kekesanan Islam bawaan Nabi-Nabi dan Rasul-rasul selain dari Nik Abdul Aziz. Walau sehebat mana sekalipun keserjanaan seseorang ulama’ samaada di timur atau di barat, dia masih belum diuji secara “live” : berdepan dengan pemikiran sekular yang pekat bermaterialistis dalam segenap segi dan dimensinya." - Anbakri



Bertemu Janji Allah-siri 2




Buku terbaru Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, sudah berada di pasaran!

Membicarakan alam akhirat adalah percubaan untuk menjangkau segala yang misteri di belakang tabir keduniaan. Tiada siapa yang layak untuk membimbing segala apa yang terkandung di alam itu melainkan apa yang di khabarkan oleh Pemilik, Pencipta dan Penguasanya melalui wahyu yang diturunkan kepada NabiNya. Tanpa pergi terlalu jauh, dalam pengertian wahyu yang terkandung di dalam surah al-Fatihah Ayat 4 sahaja, kita sudah dipandu dengan sebuah proklamasi berbunyi, “Dialah (yakni Allah) penguasa hari akhirat.” Mungkin William Shakespeare juga termakan dengan tempias firman Allah ini dengan kata-katanya yang pernah direkodkan di dalam skrip teaternya King Henry V111 3 berbunyi, “heaven is above all yet; there sits a judge that no king can corrupt.”
Buku yang bertungkus lumus menggali pelbagai rahsia akhirat, yang sedang berada di tangan pembaca sekarang ini adalah sebuah catatan. Ia bukan memo sembarangan. Ia memunggah kandungan dan pengertian alam ghaib yang akan sama- sama kita lalui lambat launnya. Bagi mereka yang sudah pergi, mereka sudah dan sedang berada sebahagiannya di alam itu. Sekarang, soalnya masih adakah pilihan kita untuk tidak cuba memahaminya sedangkan kita memang perlu ke sana – sememangnya akan ke situ? Dalam gugur hari yang beralih minggu ke minggu, masih adakah khilaf bahawa kita sedang mendekati satu tarikh kematian yang tidak pernah berganjak? Sebaliknya, kita pula yang semakin mendekat !



Karya: Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Harga: RM17.00






SUDAH TERBIT!!!


Kisah Cinta dalam Al-Quran (Percuma VCD)




Cinta diistilahkan sebagai tajuk yang "terbungkus" kerana ia berupa perasaan. Jauh di dasar agama, ia bersifat “malu-malu”, berwajah seni dan menjadi bawaan jiwa. Ia seakan-akan menjadi "taboo" dari dikupas rahsianya biarpun oleh orang yang sepatutnya "ahli" hingga ke dasar pengertian. Hadirnya ghaib tetapi roh kezahirannya wujud memukau dan sering meninggalkan kesan cakaran yang keliru di mana-mana. Dengan itu menjadikan, cinta itu sendiri memerlukan pentakrifan dan pemerincian. Inilah asas kewajaran tampilnya buku ini. Ia mewah menghidangkan gelora cinta yang melanda, lewat kisah-kisah yang pernah dilalui oleh para nabi dan rasul-rasul pilihan. Ia dihidangkan "live" ! Jika mampu kami gambarkan cinta itu barang sedikit, ia sesungguhnya sebuah anugerah kudus ciptaan Allah SWT. Ini jelas diisyaratkan oleh al-Quran sendiri seperti firmanNya yg bermaksud:

“Katakanlah jika kamu menyintai Allah, maka ikutilah aku nescaya Allah akan mengasihimu.”(Surah al-‘Imran Ayat 31).


Karya: Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
& Misbah Em Majidy
RM23.00 (SM) RM26.00 (S/S)


Hidayah

Ternyata manusia begitu memerlukan Allah dalam segenap ruang hidupnya. Dia bersifat wujud yang pastinya wujud sebelum manusia dan seluruh alam semesta dicipta. Apabila manusia meyakini bahawa Allah adalah Pencipta dirinya dan seluruh alam ini, manusia akan meyakini bahawa hanya Allah yang tahu keperluan sebenar dalam kehidupan seorang manusia. Keperluan manusia tidak hanya terbatas kepada keperluan fizikal malah juga merangkumi keperluan rohani. Antara keperluan rohani bagi manusia yang sangat penting ialah hidayah. Hidayah berasal perkataan Bahasa Arab yang bermaksud petunjuk ataupun panduan. Sebenarnya hidayah adalah perkara paling penting dalam hidup manusia kerana ia berfungsi sebagai petunjuk jalan bagi memastikan perjalanan hidup seseorang itu berada di atas landasan yang betul dan lurus. Orang-orang Islam perlu sentiasa memohon hidayah daripada Allah SWT setiap kali menunaikan solat. Dalam setiap rakaat mereka membacakan doa yang terkandung dalam ayat 6 surah al-Fatihah yang bermaksud: “Tunjukilah kami jalan yang lurus.”

Karya: Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat

Tok Guru lancar buku Bertemu Janji Allah


Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat melancarkan Buku terbaru karyanya “Bertemu Janji Allah” yang mengisahkan janji Allah ketika manusia di Mashyar.

Majlis pelancaran buku tersebut diadakan di kedai buku Sarjana Media di Wangsa Maju. Buku ini adalah hasil susunan dari siri kuliah beliau di dataran ilmu, Kota Bharu Kelantan.

Turut hadir pada majlis tersebut YB Salahuddin Ayob, Ahli parlimen Kubang Kerian. Buku yang diterbitkan oleh Anbakri Publika Sdn Bhd, telah mendapat sambutan amat mengalakkan.


Pada majlis tersebut Tok Guru juga sempat meluangkan masa untuk menandatangani buku-buku karya beliau kepada pembeli. Keterujaan orang ramai terasa apabila mereka berpusu-pusu untuk bersalam dengan beliau. Majlis diakhiri dengan doa oleh Tok Guru sendiri.

Kemuncup Dalam Perjuangan


Buku "KEMUNCUP DALAM PERJUANGAN" adalah buku yang mahu mengajar umat tentang pelbagai ujian dan mehnah sewaktu memperjuangkan Islam. Ujian juga boleh datang dalam bentuk tekanan dan diskriminasi. ujian juga oleh tampil dalam bentuk tawaran dan habuan. Pokoknya, jangan sampai kita tertelan mata pancing kerana ingatlah; sepat yang bodoh pun tidak akan memakan pancing emas.

Apa susahnya berjuang ikhlas kerana Islam. Apa yang nak dikhuatirkan tentang penolakan. Parti PAS sendiri sudah memiliki kelab penyokong PAS dari pelbagai kaum dan agama yang melebihi 10,000 ahli diseluruh negara. Dalam pilihanraya yang lalu, di Johor kita telah meletakkan seorang calon wanita berketurunan India yang bertanding diatas tiket PAS. Bahkan bersifat proaktif dan futuristik PAS telah membolehkan anggota masyarakat bukan Islam dan bukan melayu untuk menjadi ahli PAS; cuma perlaksanaanya sedang menunggu saat yang sesuai. Ini yang merisaukan Umno. Mereka risau kerana PAS sudah menjadi Parti Multi-racial yang sedang popular dan meluru kehadapan dari segi kebolehpercayaan dan kredibilitinya. Saya tidak nampak hajat yang jernih dari Umno dalam hal menawarkan perbincangan mengenai itu dan ini. Jika benar-benar ikhlas Umno ingin melihat penyatuan Islam dan melayu dia mesti menunjukkan perubahan sikap yang signifikan dalam segenap segi baik Islam atau demokrasi.

Karya: Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Harga: RM17.00

Solat & KeajaibanNya



Ilmu moden terus menemukan, membuka dan mengungkapkan kepada kita mukjizat syariat yang mulia ini. Mukjizat yang datang bersama-sama Rasulullah S.A.W sejak 14 abad yang lalu, sehingga keagungan, manfaat serta kesesuaian agama ini untuk setiap ruang dan waktu tidak diragukan lagi bagi orang-orang yang memiliki akal. Ibnu Qayyim menggambarkan ibadah solat dengan ungkapan-ungkapan yang sangat baik, iaitu solat adalah ibadah yang mencegah daripada perbuatan yang mendatangkan dosa dan menolak pelbagai jenis penyakit hati, mengusir penyakit fizikal.

Melampaui faedah-faedah duniawi, solat tetaplah bahan anugerah dari langit yang mempunyai falsafah amali yang lebih berdarjat. Ia adalah alat bertajalli. Ia talian komunikasi antara langit dan bumi dan seisinya. Solat adalah puncak segala hiburan.

Karya: Allahyarham Dato' Hj Ishak Baharom (Mantan Mufti Selangor) & Ustaz Azrul Hakim Suradi
Harga: RM17.00

TAQWA


Bersifat jujur terhadap diri dari dasar hati yang terdalam, kita mengkhianati segala kenikmatan yang diberikan Allah sedangkan betapa sedikit pula ketaatan kita kepadaNya.

Dalam keadaan begini, kita harus bertanya kepada diri kenapa hati kita boleh menjadi begitu keras. Seakan-akan kerdip kebenaran tidak pernah mendapat tempat di hati. Inilah akibatnya jika hati sudah tidak mengenal Taqwa.
Rasanya tidak layak diri ini mengharapkan keindahan dan kebaikan, di mana pada masa yang sama kita sering menghadirkan kejelekan dan kemudaratan. Rasanya tak layak kita memohon ampunan tapi di sisi lain kita hadirkan kemaksiatan. Rasanya tak layak kita disebut hamba pilihan
kerana perintah dan larangan tidak jua kita agungkan.Cubalah kita diam membatu sejenak, baikkah hari ini bagiku dari hari semalam?

Buku ini adalah respon dari Tuan Guru, yang mana secara bertatih mengajak kita melalui detik-detik masa di dunia untuk meletakkan Taqwa kembali semula di atas landasan. Jika orang bertanyakan, mana buku itu? Maka kami menjawab, “Inilah bukunya.”

Karya: Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Harga: RM17.00

Bertemu Janji Allah



Buku ini memfokuskan sorotannya kepada persoalan akhirat. Ia mengajak kita untuk cuba menjenguk misteri alam akhirat berpandukan wahyu yang diterima oleh Nabi besar Junjungan kita Muhammad S.A.W.
Buku setebal 190 halaman yang mengandungi 38 bab ini
cukup jujur memunggah apa saja yang berkaitan dengan alam yang sama-sama kita akan berada tidak lama lagi. Dengan perbincangan Mashyar yang detail, buku ini mengembangkan sayap rahmahnya kepada hal-hal yang menyentuh persoalan berkaitan kehidupan seharian di dunia, yang mana akan di bawa ke Mashyar.

Ia sebuah pengembaraan ilmu yang dipimpin oleh seorang yang arif, berpandangan jauh, ikhlas lagi bijaksana. Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah diantara segelintir ilmuan Islam yang layak ditumpangi suluh bimbingannya. Izinkan buku ini mengambil tempat dalam rak buku khalayak. Semoga kami tidak mengecewakan anda kerana ia membawa persoalan yang cukup penting untuk persiapan kita semua: bersiap-siap untuk ke sana.

Karya: Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Harga: RM17.00

Akhalak BerMuamalat


Buku ini sengaja dijudulkan sebagai Akhlak Bermuamalat untuk memberikan gambaran bahawa jual beli mengikut kaedah Islam ini bukan sekadar mematuhi hm-hukum syarakuku sahaja, tetapi juga turut terikat dengan prinsip-prinsip akhlak dalam pengamalannya.

Topik dirasakan begitu penting bagi umat Islam kerana sebelum ini sudah banyak buku-buku tentang ibadat lain dalam cetusan idea Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah diterbitkan, tetapi jual beli sebagai suatu amalan harian umat Islam masih belum meluas perbincangannya.

Karya: Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Harga: RM13.00

Bunga Kebahagiaan


Berkasih sayang dalam rumah tangga adalah fitrah manusia. Suami isteri, anak-anak dan siapa sahaja hatta haiwan sekalipun sangat mengingininya. Tetapi adakah ianya berlaku dalam kehidupan kita seharian? Runtuhnya moral masyarakat Islam ini bermula di sini. Oleh itu rasa kasih sayang perlu ditekankan setiap hari, setiap waktu berterusan dan menjadi perkara yang melekat di hati kita. Manusia,secara fitrahnya inginkan kebahagiaan, ketenangan,kerehatan dan segala macam kesempurnaan mengiringi kehidupannya.

Perkahwinan pada pandangan Islam adalah suatu perkara yang suci. Ini kerana ia dibina dengan dasar-dasar yang mulia. Ia bermula dengan usaha memilih pasangan untuk sehidup semati, seterusnya dengan lafaz akad bagi menghalalkan hubungan pasangan. Hubungan suci ini wujud bukan untuk sehari dua tetapi untuk seumur hidup.
Karya: TG Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Harga: RM20.00

Tundukkan Hati


Buku yang diutarakan kali ini menyentuh perkara yang paling dasar dalam kehidupan manusia. Daripada pandangan mata. Daripada pandangan telinga. Bahkan daripada seluruh pengucapan rasa dan deria, ia pada akhirnya berjejak di hati.

Hati adalah maharaja. Dialah pemerintah sebenar kepada sebuah kerajaan yang bernama diri. Apa yang semakin menyentuh hati kami ialah bimbingan jujur daripada seorang ulama unggul ini benar-benar suatu usaha untuk memindahkan pengalaman rohani beliau yang menyentuh persoalan hati. Teras bimbingan beliau untuk menundukkan hati dibina daripada sumber yang sahih. Apa yang lebih istimewa ialah buku ini memberi imbasan tidak langsung pengalaman-pengalaman Nik Abdul Aziz sendiri dalam menjinak dan melentur hati.
Karya:TG Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Harga: RM15.00

Belajar Dari Dua Umar-Kenyangkan Perut Rakyat



Meyakini akan mutiara mahalnya itulah, kami mengambil daya usaha ini. Kami menamai buku ini ‘Belajar dari Dua Umar’. Buku ini sebenarnya lebih mahal daripada tajuknya. Ia cuba mengusung teladan yang sarat daripada dua khalifah agung yang pernah dilahirkan dan dihadiahkan oleh tamadun Islam. Jika orang boleh membedah dan mengungkit kegemilangan personaliti Abraham Lincoln ataupun Winston Churcill ribuan kali justeru mengkagumi kemuliaan karektor mereka, apakah menyalahi protokol ataupun mengingkari sejarah sejarah jika kita menyatakan hak kita untuk lebih berbangga dengan dua tokoh wali bertaraf khalifah yang tentunya lebih unggul, bahkan jauh lebih mulia daripada kedua-dua manusia pemimpin yang ditonjolkan oleh Barat itu. Kiranya timbullah (katakan) syak akan kecemerlangan sahsiah, akhlak dan akal budi kedua-dua tokoh alternatif yang kita tampilkan ini, maka buku ini akan mampu menjadi carta semak.
Pada kami, kedua-dua Umar adalah sosok pemimpin yang sungguh-sungguh mendahului kepentingan rakyatnya daripada mengurus kepentingan peribadinya. Mari kita renungi kata-kata salah seorang daripada kedua-dua Umar ini berbunyi, “Jika rakyatku kelaparan, aku ingin orang pertama yang merasainya. Kalau rakyatku kekenyangan, aku ingin menjadi orang terakhir yang menikmatinya.”
Bagi kami, jika perlu ada kekaguman terhadap mana-mana manusia yang bernama Umar di sepanjang sejarah ketamadunan, maka hanya terdapat dua sahaja nama besar iaitu Umar al-Khattab dan Umar bin Abdul Aziz. Dan, inilah buku yang akan menjadi persaksiannya.
Selain itu, ikuti pandangan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat tentang kehebatan dua khalifah ini.
Karya: Andi Bastoni
Pandang Sisi oleh: TG Dato' Nik Abd. Aziz Nik Mat
Harga: RM15.00

Muhammad SAW-Kisah Hidup serta Peperangan di zamannya


Banyak sudah kita menelaah buku sekisar riwayat Nabi saw, namun buku ini amat menarik kerana menampilkan suatu kelainan. Apakah kelainannya? Semasa membaca buku ini, seakan terasa ada kesan sampingan; baik dari rohani ataupun emosi. Derap perjuangan ketika Nabi saw memimpin para sahabatseakan terhidu keringan debu yang terhambur.
Buku yang memuatkan sikap Rasulullah SAW yang membayangkan sikap Islam dalam pelbagai situasi sama ada genting ataupun tenang. Menghayatinya seakan-akan samalah seperti kita dijemput untuk bersedia di tengah-tengah medah jihad dalam Perang Ahzab, Khaibar, Hunain ataupun mungkin juga berada di tengah-tengah meja bundar
di mana Perjanjian Hudaibiyah dimeterikan. Gaya ianya ditulis cukup istimewa kerana sesuai dengan tajuknya yang menyentuh persoalan sirah.
Buku ini cukup detail. Teknik penceritaannya cukup tersendiri. Ia bias menyirap darah pejuang, menghiris hati simpati dan boleh menimbulkan kecintaan kepada Rasulullah SAW yang membuak-buak. Terasa benar betapa kurangnya kita berkorban untuk fisabilillah.
Semoga buku yang ditulis daripada dakwat kesedaran ini mampu mengetuk hati kita untuk memberikan sesuatu yang benar-benar memberi bekas kepada kebangkitan semula Islam. Moga usaha memunggah dari khazanah milik Tok Guru ini bermanfaat untuk umat Islam.

Karya: Tuan Guru Dato' Nik Abd. Aziz Nik Mat

Harga: RM27.00