Bicara Buku; TAQWA

Gandingan ideal; Ustaz Wan Ji yang petah dan Tuan Haji Annual Bakri yang tenang


Fiesta Kota Damansara yang berlangsung pada 25 Disember hingga 31 Disember 2008 telah memberi ruang kepada Anbakri Publika Sdn. Bhd mengemudi agenda Bicara Buku. Program Bicara Buku beriklim santai telah membariskan panelis kordial dengan seni dan sastera, Tuan Haji Annual Bakri Haron dan Saudara Ann Wan Seng. Nyata panelis ini punya kredibiliti untuk mengupas karya Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz yang berjudul TAQWA. Karektor Ustaz Wan Ji Wan Husin sebagai moderator mengujakan audien.

Benar! Takwa bukan sekadar takut dan patuh kepada Allah, tetapi merasai diri diawasi dan diperhati. Setiap perkara yang dilakukan pasti dibalasi walau sekecil zarah. Itu prinsip Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang sempat dikutip oleh Setiausaha Politiknya, Tuan Haji Annual Bakri. ”Saat yang paling diingati hingga ke hari ini ketika saya sedang menulis. Tuan Guru memerhatikan cara saya menulis, kemudian beliau bersuara tenang dan bertanya, kenapa kamu tulis begitu? Saya bertanya kepada beliau, mengapa? Apa salahnya saya menulis begini? Beliau menjawab, jika kamu tulis begitu penggunaan dakwatnya tidak ekonomik. Membazirkan tinta. Saya akur dengan jawapan tersebut dan terbetik rasa kagum.” Ujar Tuan Haji Annual Bakri semangat.

Selaku Editor Syariah Anbakri Publika Sdn. Bhd., Ustaz Wan Ji sempat mengulas isu pengharaman snuker di awal pemerintahan Tuan Guru sebagai Menteri Besar Kelantan. Namun menjadi tanda tanya apabila akhirnya Tuan Guru merasmikan pusat snuker di Kelantan. Isu ini membangkitkan kontroversi. Namun, apa yang dijawab oleh Tuan Guru cukup menyenangkan hati individu yang sangsi. ”Dulu, Rasulullah SAW mengharamkan umatnya pergi ke kubur kerana bimbang berlaku perkara syirik dan khurafat, setelah akar tauhid dipasakkan ke dalam nubari setiap umat dengan utuh, Rasulullah SAW membenarkan umatnya menziarahi kubur. Kerana kubur bisa mendekatkan kita kepada saat kematian. Begitu juga dengan snuker, sebelum ini snuker sinonim dengan judi, setiap permainan ada pertaruhan. Ini akan membunuh ikhtiar rakyat Kelantan dan merendahkan akal budi manusia. Saya haramkan bersebab.”

Ann Wann Seng yang hadir lewat disebabkan menghadiri jemputan majlis ilmu sempat berkejar ke Kota Damansara bagi mengisi Slot Bicara Buku. Beliau merupakan mualaf yang mula mengulas buku karangan Tuan Guru sejak tahun 1996. Ann Wan Seng mempunyai latarbelakang keluarga yang bergiat cergas dalam perniagaan. Beliau mengaitkan kesinambungan SIKAP ORANG CINA dan KELEMAHAN TAKWA orang Melayu. Apa yang menarik beliau memerikan hal orang cina yang kaya raya tetapi sangat pemurah hati dan punya inisiatif menyalurkan kebajikan walaupun sudah meninggal dunia, manakala orang Melayu yang beragama Islam saling berdengki dalam aktiviti perniagaan. Pantang melihat kemajuan orang, pasti terbit hasad dan dengki sehingga sanggup menjatuhkan bangsa sendiri. Berbanding orang cina yang sifar akidah, mereka sangat menjaga bangsa mereka. Keuntungan milik bersama. Konklusi mudah dari Ann Wan Seng, ”Jika ingin ekonomi islam maju, islamkan semua orang-orang cina!” Serunya.

Takwa, benihnya harus disemai sejak kecil. Kerana takwa tidak akan lahir tanpa tauhid...