Pesta Buku Negeri Selangor 2009, miliki ilmu yang tertinggal...



Pesta Buku Negeri Selangor 2009 yang sedang berlangsung di Kompleks PKNS, Shah Alam hingga 3 Ogos 2009 dengan jumlah sasaran pengunjung seramai 400,000 orang.
Pesta Buku Negeri Selangor merupakan program tahunan Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan.

Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dilantik sebagai Urus Setia Tetap Pelaksana Pesta Buku Negeri Selangor dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk jabatan-jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), media, penerbit dan persatuan penulis. Majlis pelancarannya disempurnakan oleh YB Dr. Halimah.

Menurut sembang kawan-kawan pempamer, pesta buku Selangor kali agak kurang sambutan berbanding tahun yang sebelumnya. Saya pun mencelah, "mujur saya tak masuk". Tapi sebenarnya, saya pun mengambil bahagian dengan membekal buku-buku saya kepada kawan-kawan yang mempamer. Jika anda berada di sana, pasti anda akan terperasan light box yang ada wajah manis Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di sudut-sudut tertentu. Tapi jangan buat-buat lupa untuk miliki ilmu dari Tok Guru, dengan membeli naskah terbaharu bertajuk "Soal Jawab Isu-isu Mencabar Dalam Islam".

Selamat membeli, miliki ilmu yang tertinggal...

Bedah Buku...jom ngintai


Bagi anda yang berada di sekitar Bangi, pada 11 julai 2009 (sabtu) jam 5.00 petang, bertempat di Kompleks PKNS, Bangi akan diadakan Bicara Buku yang bertajuk "Wajah Baru Politik Malaysia". Buku ini tulisan Dr. Mujahid Yusof Rawa. Antara panel yang akan membedah buku ini>> Dr. Dzulkifli Ahmad, Tuan Hj Annual Bakri Haron dan Ustaz Zamri Zainal Abidin selaku moderator dari radio IKIM.fm. Anda dijemput hadir beramai-ramai.... bawa bersama teman-teman, jiran-jiran dan saudara mara. ....BUKUKU KAKIKU!

Masjid Kota Damansara, Himpunkan Karya Tuan Guru Nik Abd Aziz

Tuan Guru Dato' Haji Nik Abd Aziz Nik Mat menyerahkan koleksi karya kepada AJK Masjid Kota Damansara
Kota Damansara: Masjid Kota Damansara merupakan masjid pertama mengumpulkan karya Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Majlis penyerahan dibuat pada 10 Januari 2009 sekitar jam 8.30 malam dan disampaikan sendiri oleh Tuan Guru. Tuan Guru turut memimpin solat sunat hajat memohon kepada Allah SWT keamanan bagi rakyat dan negara Palestine dan kehancuran dahsyat bagi Israel terkutuk. Orang ramai yang hadir dari kawasan berhampiran telah membanjiri masjid sejak petang untuk menyaksikan program tersebut. "Saya sudah meladeni hampir semua karya Tuan Guru, ia sangat mengesankan." Kata seorang pengunjung dan penikmat karya Tuan Guru. Menurut Haji Fadzil yang merupakan AJK masjid berkenaan, "Kami berharap karya ini dapat memberi input positif bagi kita sesama muslim demi memekarkan budaya membaca kepada masyarakat setempat." Turut hadir pada majlis tersebut, Setiausaha Politik Tuan Guru, Tuan Haji Annual Bakri Haron dan Saudara Masri Abu Soed, Pengarah Penerbitan Anbakri Publika Sdn. Bhd. selaku syarikat penerbitan karya Tuan Guru.

Masjid-masjid yang berminat mengumpulkan karya Tuan Guru untuk bacaan umum dan para jemaah di masjid anda, sila hubungi Unit Jualan Anbakri Publika Sdn. Bhd. di talian 03-61573314 atau 019-3950401 (En. Hasrul)

HIDAYAH, Kompilasi Tafsir Surah Yunus, Munafiqun dan Hadid


Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi autograf karya terbarunya berjudul HIDAYAH



Tuan Guru tidak menghampakan pembaca setia siri-siri tazkirahnya





Tanggal 10 Januari 2009, Padang PJS 4 di Taman Medan telah menyaksikan kehadiran audien mencecah hampir 30 000 orang. Majlis ini diadakan bersempena perasmian Pejabat baru Pas di Petaling Jaya Selatan oleh Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abd Aziz Nik Mat. Majlis bermula jam 9.30 malam dan berakhir sekitar 12.00 tengah malam. Majlis ini diisi dengan slot ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Solehin Mukhyi, Ketua Pemuda PAS Selangor, Kapten (B) Datuk Zahar Hashim dan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abd Aziz.

Dalam sesi ini, Tuan Guru Nik Abd Aziz tekal mengingatkan para hadirin terhadap kekuasaan dan penciptaan segala sesuatu adalah milik Yang Maha Satu dan menyeru agar umat Islam memerkasakan ketakwaan dan keimanan kepada Allah s.w.t. Tuan Guru memimpin bacaan doa keamanan bagi Palestine dan kehancuran bagi puak kuffar Yahudi. Kecaman terhadap Israel dilaungkan bersama-sama hadirin yang mewakili semua kaum di Malaysia; melayu, cina dan india.

Apa yang menarik, majlis ini sempat meraikan ’penghijrahan’ Kapten (B) Datuk Zahar Hashim yang disambut dengan lilitan selendang serban dibahu dan pelukan mahabbah oleh Tuan Guru Nik Abd Aziz. Manakala YDP PAS Petaling Jaya Selatan, Ustaz Ghazali Shaari menyerahkan borang keahlian PAS dikalangan ahli UMNO bahagian PJS.

Bersempena terbitan karya terbaru Tuan Guru Nik Abd Aziz berjudul HIDAYAH, sesi autograf sempat diadakan bersama penggemar kompilasi siri kuliah Tafsir al-Quran. Malah, Kapten (B) Datuk Zahar Hashim membeli 100 naskhah untuk diagih-agihkan kepada seluruh masjid di PJS. Naskhah HIDAYAH adalah kompilasi tafsiran surah Yunus, Munafiqun dan Hadid yang menakungi limpahan fikrah Tuan Guru Nik Abd Aziz. Bagi pembaca setia siri-siri kuliah Tafsir al-Quran Tuan Guru pasti teruja dengan method penafsiran ’membumikan al-Quran’ yang berkitar dalam lingkungan realiti semasa. Bukan tafsiran membuta tuli seperti tafsir Al-Quran gagasan pengamal liberalisme. Jika anda berminat memiliki kompilasi Tafsir HIDAYAH, boleh dapatkan melalui Unit Jualan Anbakri Publika atau ajen-ajen yang dilantik.